Pemisah Moro Serang Satu Lagi Bandar


Manila – Askar Filipina bertempur lagi dengan anggota kumpulan Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF) di Tulunan, Cotabato Utara awal semalam.

Pegawai Operasi Sivil Tentera Batalion Tentera Darat ke-57, Lt Nasrullah Sema, berkata pertempuran belum tamat di perkampungan Dungos, daerah Del Monte.

Sekumpulan askar kerajaan sudah dihantar untuk menamatkan ancaman 200 pemisah BIFF selepas pertempuran meletus jam 7 pagi waktu tempatan.

4 guru, 1 budak sempat lari

Lewat kelmarin, empat guru dan seorang kanak-kanak sempat lari daripada ditahan anggota BIFF.

Datuk Bandar Romeo Arana berkata, mereka sedang menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital.

Guru dan kanak-kanak itu dijadikan perisai manusia BIFF ketika kumpulan itu menyerang Midsayap apabila sembilan orang maut. BIFF adalah serpihan kepada pergerakan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

BIFF menentang rundingan damai dengan kerajaan dengan MILF yang mempunyai 12,000 anggota.

Jurucakap Divisyen Infantri ke-6, Kol Dickson Hermoso, mengesahkan anggota BIFF itu masuk dari Maguindanao dan menyerang Tulunan.

“Kumpulan ini berbeza. Penyerang di Midsayap jauh dari Tulunan. Tulunan terletak tidak jauh dari pantai Liguasan dekat bandar SK Pendatun di Maguindanao,” katanya.

Hermoso mengakui pihak berkuasa terkejut dengan serangan itu kerana insiden lalu hanya membabitkan pergaduhan antara anggota keluarga mengenai tanah.

Bagaimanapun, pertempuran di Barangay Dungos adalah jauh dari pusat bandar.

Baki tebusan dibebaskan

Sementara itu, baki tebusan BIFF di Midsayap sudah dibebaskan, menurut laporan.

Sembilan guru dibebaskan mulai 5.30 pagi di Sitio Payugan, Sambulawan sebelum rundingan diadakan.

Dalam laporan lain, empat pegawai majlis perbandaran dan seorang setiausaha juga dibebaskan.

Serangan itu menyebabkan 2,000 keluarga hilang tempat tinggal dan kini dipindahkan ke enam pusat pemindahan sementara.- AGENSI

Posting Komentar