Ketika ini, ramai yang mengetahui kekecohan gambar ‘pre-wedding’ yang berlaku mengenai isu Liyana Jasmay dengan syarikat fotografi terkenal, CandidSyndrome International & CandidSyndrome.Com.
Isu ‘peperangan’ antara Liyana bermula apabila ibu kepada penyanyi dan pelakon wanita itu, Datin Habsah Simpon meluahkan rasa kesal kerana gambar mesra antara Liyana dengan tunangnya, Fathuddin atau Din tersebar di ruang internet.
Habsah berkata, gambar-gambar itu tidak sepatutnya disebarkan sewenang-wenangnya kerana itu adalah hak peribadi mereka dan hanya untuk tontonan mereka sekeluarga sahaja.
“Gambar itu sepatutnya tidak boleh dipaparkan kepada umum kerana perkara ini telah dijanjikan sejak awal lagi. Ia hanyalah untuk simpanan peribadi sahaja,”kata Habsah.
Selepas Habsah mengeluarkan kenyataan itu, semalam, pengasas kepada syarikat fotografi tersebut, Saiful Nang membuka mulut mengeluarkan kenyataan menerusi laman Facebooknya.
Kata Saiful, perkara seperti itu tidak pernah dijanjikan atau dibincangkan antara mereka sewaktu kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama bagi menjayakan sesi foto ‘pre-wedding’ Liyana dan Din.
Saiful menerangkan, segala perjanjian sepatutnya mempunyai perjanjian yang ditulis atas kertas sebagai bukti mereka bersetuju untuk menjalinkan kerjasama.
Namun, Saiful kesal kerana segala prosedur yang biasa diamalkan oleh CandidSyndrome International & CandidSyndrome.Com langsung tidak diendahkan oleh pihak Liyana dan keluarganya sendiri termasuklah pihak tengah yang menghubungkan mereka, Izuan Mokhtar.
Malah, Saiful juga memberitahu dalam kenyataannya itu masih lagi tidak mendapat maklum balas dari Liyana atau individu-individu rapat dengan penyanyi itu tentang kedudukan sebenar kerjasama mereka hingga ke hari sesi foto ‘pre-wedding’.
Apa yang pelik dalam kenyataan Saiful, orang tengah Liyana, Izuan Mokhtar telah menghubungi dirinya sendiri dengan permintaan mahu CandidSyndrome International & CandidSyndrome.Com menaja fotografi sewaktu perkahwinan Liyana dan Din nanti.
Berikut adalah kenyataan dari Saiful:
“Saya ingin mudahkan ceritanya. Kurang 3 hari dari 14 Januari (tarikh pra-perkahwinan) itu, Izuan Mokhtar yang menguruskan wedding LJ menguhubungi saya dan bertanya jika berminat untuk penajaan fotografi. Setelah melihat jadual saya nyatakan saya akan ke Mekah pada tarikh itu. Walaubagaimanapun beliau menyatakan tentang sessi pra perkahwinan dan saya jawap yang itu boleh dijalankan kerana masih sempat untuk dilakukan,” luah Saiful.
Adakah pembaca-baca sekalian nampak dengan kenyataan PENAJAAN yang diluahkan oleh Saiful?
Persoalannya, mengapakah Liyana mahu mencari penajaan jurufoto sewaktu hari perkahwinannya nanti?
Pelik bukan?
Ini kerana, sebelum ini, agak berleluasa juga Liyana mengeluarkan kenyataan kepada pihak media yang dia tidak mahukan sebarang bentuk penajaan untuk perkahwinannya kerana mahu melakukan sendiri segala persiapan hari bahagianya itu.
Berikut adalah kenyataan Liyana pada penghujung tahun lepas:
“Saya bukan tidak mahu ditaja tetapi untuk hari perkahwinan, rasanya ia jadi lebih manis jika memori itu disimpan dan hanya dimiliki oleh saya.
“Jika saya menerima tajaan contohnya untuk video dan gambar, pihak yang menaja juga berhak ke atasnya. Saya kurang special kalau macam tu,” kata Liyana.
Kalau Liyana sudah mengeluarkan kenyataan seperti itu, bagaimana pula orang tengah Liyana, Izuan Mokhtar mahukan Saiful Nang menaja fotografi untuk perkahwinan Liyana nanti?
Jadi, siapakah yang benar dan siapakah yang salah?
Pelik juga kerana sebelum ini, Liyana beria-ia menegaskan tidak mahu sebarang penajaan.
Oleh: SORAYA IMAN
Posting Komentar