Timbermine gagal saman Kelantan RM800 juta

Harakahdaily

Aslani M, 07 Ogs 2012

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berjaya mengenepikan tuntutan saman RM800 juta sebuah syarikat pembalakan, Timbermine Sdn Bhd atas dakwaan melanggar beberapa perjanjian yang ditandatangani 35 tahun lalu.

Ketiga-tiga Hakim Mahkamah Rayuan pada persidangannya 23 Julai lalu menolak tuntutan saman tersebut dengan kos sebanyak RM300,000.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa (gambar atas) berkata, kerajaan negeri diwakili peguam terkenal, Datuk Sulaiman Abdullah bersama seorang lagi peguam, pada awal perbicaraan lagi sudah berjaya mengenepikan tuntutan syarikat berkenaan.

“Ini berita yang cukup menggembirakan kita di tengah-tengah bulan Ramadan yang penuh berkat ini,” katanya pada program ceramah Ghazwatul Badar di padang Majlis Daerah Ketereh malam tadi.

Hadir sama Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, anggota-anggota Exco, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Dr Muhammad Fadzli Hassan.

Program tersebut bermula jam 5 petang dengan tazkirah disampaikan Adun Pasir Tumbuh, Ustaz Mohamad Mustafa. Solat Maghrib diimamkan Menteri Besar.

Bagaimanapun ketika mahu menunaikan solat Isya hujan turun dengan lebat sehingga menyebabkan tempat solat dipindahkan ke pentas di astaka padang.

Mereka yang solat di padang di bawah khemah basah kerana air hujan melimpah ke bawah khemah. Biar pun begitu mereka tetap meneruskan solat tarawih.

Pada awal tahun lepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan kerajaan negeri membayar membayar RM800 juta kepada Timbermine sebagai ganti rugi termasuk RM560 juta bagi 30 peratus pemilikan syarikat dalam kawasan pembalakan seluas 112,000 hektar.

Selain itu ganti rugi khas RM13.6 juta, bayaran gaji pekerja yang diberhentikan (RM1.74 juta), faedah lapan peratus sejak 2004 berjumlah RM240 juta dan kos sebanyak RM200,000.

Syarikat mengemukakan saman ekoran perjanjian yang dibuat pada 1964 dibatalkan pada Mac 1975 oleh Menteri Besar ketika itu, Datuk Mohamed Nasir.

Ekoran itu kerajaan Kelantan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

Posting Komentar