Landasan Keretapi Mini Untuk Dijual


SEBUAH landasan keretapi mini yang merentasi kawasan seluas 3.5 hektar kini sedang dibuka untuk dijual oleh pemiliknya.

Landasan keretapi comel terkenal iaitu The Comrie Railroad di Scotland sudah beroperasi selama 30 tahun tinjauan minat kepada keretapi oleh pemiliknya Bob Smith yang berumur 81 tahun.

Smith mahu menjual harta kesayangannya itu kerana beliau mahu berpindah ke tempat yang lebih kecil dan lebih mudah diuruskan.

Enjin lokomotifnya yang comel bergerak di atas landasan sepanjang kira-kira 1.6 kilometer dengan melalui empat buah jambatan, tiga persimpangan dan sebuah terowong.

Enam lokomotif berkuasa stim dan satu diesel digunakan di landasan itu dan kesemuanya boleh bergerak selaju 16 km sejam.

“Sejak saya masih kanak-kanak, saya mempunyai minat untuk membina sesuatu,” kata Smith.

Landasan keretapinya itu dibuka kepada orang ramai untuk tujuan rekreasi beberapa kali dalam setahun.

Smith bercadang meletakkan rumahnya yang digelar The Station House dan juga landasan itu di laman web Pesatuan Peminat Lokomotif Kecil dan harga hanya akan diberitahu atas permintaan.

Beliau berharap ada seorang peminat keretapi berskala kecil sepertinya akan membeli landasan berkenaan yang terletak di tanah tinggi wilayah Perthshire.

“Saya berharap ada orang yang minatnya seperti saya akan membelinya dan biarlah orang tu muda sedikit,” katanya.

Ini kerana beliau mahu melihat landasan itu dan keretapinya masih bergerak dan digunakan untuk tempoh yang lebih lama.

Oleh : IBNU K

Posting Komentar